Friday, October 12, 2012
Nasihat Presiden PAS kepada ahli PAS khususnya dan penyokong PR umumnya
Amat bodohlah kalau ditipu 'syaitan yang dikenali' Abdul Hadi Awang | 6:09PM Okt 12 2012 ULASAN Para ulama meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesungguhnya aku pernah menyaksikan satu persefahaman di rumah Abdullah bin Jud'aan, sekiranya aku diajak bersamanya dalam Islam nescaya aku menerimanya." (Al-Sirah Al-Nabawiyyah, Ibn Kathir)
Peristiwa bersejarah ini berlaku di masa jahiliah, ketika Rasulullah SAW belum dilantik menjadi rasul dalam usia dua puluhan. Apabila bapa-bapa saudara baginda membawanya menyertai pertemuan khusus di kalangan pemimpin utama Mekah.
Rasulullah SAW diizinkan menyertai perjumpaan khas itu dalam usia yang dianggap terlalu muda dan mentah, tetapi diakui kebijaksanaanya yang luar biasa dan akhlaknya yang sangat mulia.
Peristiwa ini berlaku apabila seorang pengunjung Mekah daripada Qabilah Zubaid Yaman yang berniaga, dizalimi seorang bangsawan Mekah bernama Al ‘Aas bin Waael. Pendatang yang dizalimi gagal mendapat pertolongan daripada rakan-rakan dan kenalannya, kerana kedudukan bangsawan si zalim itu.
Lalu mangsa kezaliman mendaki bukit Qubais berhampiran Kaabah melaungkan rayuan pertolongan dan mencabar bahawa kesucian Mekah dan keamanannya sudah tidak ada lagi.
Apabila seruannya didengari para pemimpin Mekah yang sedang berkumpul, mereka merasa malu dan tercabar. Maka diadakan perjumpaan tergempar di rumah Abdullah bin Jud'aan dengan membuat keputusan satu muafakat yang dinamakan Half al-Fudul bagi menentang kezaliman dan membela sesiapa yang dizalimi.
Rasulullah SAW bersabda tersebut di atas dengan huraiannya: "Kalaulah persefahaman ini diajak sekarang, ketika berada dalam Islam pun nescaya aku menerima dan menyertainya."
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Kebijaksanaan adalah barang tercicir kepunyaan seseorang yang beriman, maka di mana sahaja dia mendapatinya, dialah yang berhak memungutnya." (Riwayat Ibn Majah)
Di atas konsep inilah maka Rasulullah SAW menerima persefahaman tersebut, walaupun mereka itu daripada kalangan pemimpin jahiliah.
Kerjasama politik berpandukan nas
Banyak perkara baik daripada amalan zaman jahiliah dan kalangan yang berperikemanusiaan daripada berbagai bangsa bukan Islam, seperti melayan utusan daripada negara luar termasuk negara musuh, perlindungan keselamatan terhadap para diplomat, menghormati perjanjian antarabangsa dalam perkara yang adil dan sebagainya diterima oleh Islam.
Rasulullah SAW juga menyatakan sempadan dengan sabdanya yang bermaksud:
"Orang Islam itu hendaklah bertanggungjawab atas segala syarat yang mereka tetapkan, melainkan syarat yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram." (Riwayat Al-Bukhari dan selainnya) PAS adalah parti Islam yang berpaksi dan berpandukan hukum tertinggi mengikut undang-undang tubuhnya (perlembagaan). Pelaksanaannya dikawal oleh Majlis Syura Ulama, sehingga boleh membatalkan segala keputusan dan langkah yang bertentangan dengan ajaran Islam. Maka PAS tidak boleh disamakan dengan Umno. Begitu juga hubungan PAS dengan DAP dan kalangan bukan Islam, sangat berbeza dengan hubungan di antara komponen BN yang tidak berdasar dan berkonsepkan Islam daripada al-Quran dan Sunah, Ijmak Ulama dan Qias.
Hubungan PAS dengan parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah hubungan tahaluf (kerjasama) yang berpandukan nas tersebut di atas. Pakatan adalah muafakat politik dalam konsep tahaluf siyasi (kerjasama politik) yang diluluskan oleh Majlis Syura Ulama dalam skop hukum fikah politik Islam.
Bekerjasama dalam titik persamaan menentang kezaliman politik dan pentadbiran negara yang dialami oleh seluruh rakyat, seperti amalan demokrasi yang tempang, pentadbiran negara yang tempang, pengurusan ekonomi yang penuh dengan penyelewengan, masyarakat yang jahil dengan kelemahan pendidikan dan undang-undang yang tidak ada kehebatan, menyebabkan krisis moral yang parah dengan kebanjiran maksiat dan jenayah.
Umno yang mewakili Melayu-Islam dalam BN mencalarkan Islam dan merosakkan imejnya. Sangat malang bagi sesiapa yang tidak membezakan antara Islam dan Melayu, seperti Arab yang tidak membezakannya dengan Islam.
Islam pernah memperkasakan Arab. Dan Arab tumbang setelah menjadikan Islam hanya kebanggaan sejarah tanpa amalan yang sempurna, walaupun memiliki kekayaan melimpah ruah.
Begitulah maknanya, tegakkan Islam bersama PAS, Melayu selamat dan semua kaum selamat. Tegakkan Melayu bersama Umno, Islam hanya menjadi jenama yang ditampal pada kotaknya sahaja, tanpa isinya yang sebenar. Samalah seperti meletakkan ubat batuk pada kotak yang berjenamakan ubat gatal.
Tak halang ahli DAP minum arak, tapi...
Cukuplah menegakkan Islam ala-Umno yang bergantung dengan politik wang, pangkat dan tawaran mewah bersamanya tanpa jati diri yang sebenar. Hanya menjadi penyakit yang memakan diri laksana pemelihara hantu yang menjadikan tuannya, makan tidak kenyang walau pun makan sebanyak-sebanyaknya.
Melayu yang perkasa bersama Umno, hanya sekadar bertempik menghunus keris taming sari sesama sendiri sehingga negeri dijajah. Merekalah baka yang menyerah diri kepada penjajah dahulu dan mewarisi kemerdekaan yang diletak di atas dulang emas dan menerimanya dengan melalui hamparan permaidani dan taburan bunga.
Sejarah tetap tidak boleh dibohongi bagaimana golongan Islam bermandi darah dan air mata menentang penjajah walaupun disembunyikan di bawah tikar yang hina.
PAS ditubuhkan menjadi mata rantai kumpulan Islam terdahulu yang pernah diharamkan silih berganti. PAS tetap istiqamah dengan Islamnya menyatakan Islam adil terhadap semua manusia.
Bukan hanya Arab dan Melayu sahaja atau hanya penganut Islam sahaja. Islam adalah rahmat Allah kepada seluruh alam. PAS boleh bekerjasama dengan semua pihak dan tegas berpegang kepada dasarnya dan boleh bertasamuh (bertoleransi) mengikut batas-batas Allah.
PAS pernah bersama Umno di tahun 70-an dan menubuhkan BN bersama Umno dan rakan-rakannya. Penyertaannya dengan keputusan muktamar khas supaya teguh membawa mesej Islam secara tahaluf siyasi. Ketika bersama Umno, PAS memecat sesiapa kalangan ahlinya, termasuk ahli parlimennya yang berjoget dan minum arak bersama Umno.
Kemudian PAS dihalau keluar daripada BN pada 1978 dan selepas itu kerajaan PAS Kelantan dijatuhkan dengan perisytiharan darurat yang diluluskan oleh Umno dan rakan-rakannya melalui sidang khas parlimen dan pilihan raya khas selepas itu. Lalu PAS bersendirian mara ke hadapan dengan cita-cita Islamnya. PAS adalah tersendiri, tidak sama dengan Umno.
Maka PAS tidak perlu berkiblat ke arah Umno dan berimam mengikut arah kiblatnya, kerana kiblat politiknya salah. Tegasnya PAS tidak menghalang ahli DAP minum arak, makan babi, berjudi dan sebagainya. Tetapi PAS memecat kalau ahlinya melakukan perkara yang sama.
PAS pernah mengadakan tahaluf siyasi dengan Parti Melayu Semangat-46 yang berpecah daripada Umno. Parti Semangat-46 pula mengadakan kerjasama dengan DAP.
Parti ini tidak ada lagi dan gagasan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah yang menggabungkan PAS, Parti Melayu Semangat-46, Berjasa dan Hamim sudah tamat. Akhirnya PAS mengadakan tahaluf siyasi bersama Parti Keadilan Nasional (PKN) yang juga berpecah daripada Umno. Kemudian diiikuti pula tahaluf siyasi dengan DAP.
Hudud: Umno ibarat ayam jantan
PAS mengucapkan terima kasih kepada Umno dan media yang menjadi khadamnya, kerana sangat bersimpati terhadap PAS, kerana kononnya bimbang PAS akan menjadi parti melukut ditepi gantang.
Percayalah orang Melayu-Islam tidak akan hilang jati dirinya bersama-sama dengan PAS selagi PAS tidak meminda kedudukan Islam sebagai dasar dalam perlembagaannnya, seperti Melayu bersama Umno sehingga tidak bermaya di Singapura, Pulau Pinang dan lain-lain.
Kaum lain di kalangan bukan Islam pula jangan takut bersama PAS, kerana kumpulan dan gerombolan yang mengapi-apikan semangat perkauman dan fanatik buta agama berada dalam Umno atau bersekongkol bersamanya.
Di sepanjang kerjasama PAS dalam tahaluf siyasi tidak pernah rugi. Walaupun ditendang dan dipan
Subscribe to:
Posts (Atom)