Sunday, November 15, 2009

Akta Warisan Penjajah???

Walaupun aku tak bersependapat dan menggemari beliau. Banyak juga tingkah laku dan tindak tanduk beliau yang tidak aku setuju tapi topik yang ini aku agak bersetuju hampir sebahagian besar darinya. Baik tokoh yg diceritakan mahupun penulisnya. Jangan pulak dikatakan aku puak Wahabi ke Salafi atau penentang Kaum Tua atau Ahlis Sunnah Wal Jamaah dll. Aku ni senang je, mana hujah dan amalan yg paling benar dan hampir dgn Al Quran & Sunnah serta disepakati Ulama' tersohor dan muktabar serta mursyid, itulah yg aku ikut. Tapi jgn membuta tuli sudah! Kena gak kenal mana budaya dan mana tuntutan agama. Apa2pun bila berbalah berkenaan furuk, kembali semula kita kepada Al Quran & Sunnah.

Sepanjang pengetahuan aku, isu ini bukan baru malah telah menjadi antara topik hangat masa zaman sebelum merdeka lagi serta zaman kebangkitan semula islam terutamanya di rantau ini serta di timur tengah dimana sebahagian fahaman mereka agak bertentangan dgn kebanyakan ijtihad dan amalan 4 mazhab yg menjadi ikutan. Masing2 mempunyai pendokong yg ahli serta teguh mempertahankan hujah dan pendapat masing2. Semoga perselisihan mereka didalam soal hukum hakam ini memberikan kebaikan didalam iktikad dan pegangan serta amalan kita seharian, bukan sebaliknya memberikan perpecahan dikalangan umat serta fitnah yang berleluasa.

Cuma aku kurang setuju tindakan dari JAIS didalam mengendalikan isu ini dari satu segi. Keadaan ini boleh dielakkan sekiranya dilakukan pembaharuan didalam enakmen undang2 islam negeri masing bersesuaian dgn kehendak perkembangan islam dan zaman. Apa2pun kita mungkin perlu gubal dan pinda serba sedikit serta menambah baik enakmen yg terdapat didalam Undang2 Syariah Selangor agar lebih menepati roh dan keadilan islam itu sendiri dari disamakan dengan undang2 ciptaan manusia lain. Apa2pun, mari kita melihat hujah dan pandangan yg diberikan oleh saudara kita yg seorang ini yg dipetik dari blog beliau. :

Warisan Penjajah

Artikel di bawah ini wa cilok 100% dari http://zul4kulim.blogspot.com/
......Renung-renungkan... pikir-pikirkan... cermin-cerminkan diri anda ... dilandasan manakah perjalanan hidup anda sebelum ini... pilihlah jalan yg benar yang diredai Allah. Ayuh mulakan perubahan pada hari ini dan hari-hari berikutnya demi mendaulatkan agama islam yg suci dan demi keagungan umat islam seluruh dunia.

Oleh
Zulkifli Noordin


Salam 2 all.

Isu mantan Mufti Perlis yang ditahan kononnya menyampaikan ceramah tanpa tauliah telah membuka mata dan minda umum khususnya umat Islam di Malaysia tentang isu pemberian tauliah untuk mengajar, menyebar, menyampaikan da'wah Islam.

Sebenarnya syarat untuk mendapat tauliah oleh mana-mana pendakwah Islam sebelum dibenarkan menyampaikan risalah Islam ini adalah satu cara penjajah menyekat kebangkitan umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Semasa penjajahan Barat, kebanyakan ulama', penda'wah dan pejuang Islam telah menggunakan medan da'wah di surau, masjid, dan lain-lain tempat untuk membangkitkan semangat umat Islam menentang penjajah berdasarkan 'ilmu dan kekuatan jihad berpaksikan aqidah.

Maka diciptalah oleh sang penjajah sekatan untuk Islam disebarkan. Di Selangor, penjajah mencipta satu undang-undang dipanggil Enakmen Pentadbiran Islam Negeri Selangor No. 3 1952. Didalam enakmen ini, penjajah menukar habis hukum syara' dan perundangan Islam. Kesalahan zina, khalwat, arak, qazaf dan lain-lain yang sudah qat'i didalam hukum syara' di ubah hukumannya kepada denda dan hukuman yang bukan dari sumber Al Quran dan sunnah.

Bagi menyekat pengembangan Islam, maka disekat para ulama', tuan guru, para ustadz/ ustadzah, para da'ie dan pendakwah serta aktivis dan pejuang Islam daripada menyebarkan Islam dengan membuat peruntukkan di Seksyen 166 Enakmen tersebut iaitu:

"Siapa-siapa melainkan dirumahnya dan dihadapan ahli rumahnya sahaja, mengajar dan menerang lain-lain pengajaran mana-mana ilmu agama Islam dengan tiada mendapat kebenaran yang bertulis dari Kadi hendaklah disiksa dengan penjara lamanya tiada lebih daripada 3 bulan atau denda tiada lebih daripada 6 bulan atau denda".

Berdasarkan peruntukkan ini, maka ramailah ulama', tuan guru, pendakwah, ustadz/ustadzah, para da'ie dan pendakwah serta aktivitis dan pejuang Islam yang disekat daripada menyampaikan risalah Islam. Ada yang ditangkap dan dihukum, dan akhirnya masjid menjadi lesu dan hilang rohnya..umat islam menjadi jahil dan disumbat dengan islam yang di acu oleh Barat. Yang paling malang, institusi mimbar Jumaat juga menjadi korban. Khutbah-khutbah semuanya dibuat mengikut telunjuk penjajah dan pak khatib sekadar menjadi kakak-tua yang membaca balik teks yang disediakan, yang kekadang isinya langsung tidak relevan sama sekali.

Dan inilah sistem perundangan yang terus menerus diwarisi oleh bangsa Melayu walaupun sesudah merdeka. Maka muncullah Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1980, Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965, Akta Keluarga Islam 1980 dan Akta Jenayah Syariah; yang semuanya adalah versi moden yang diciplak daripada enakmen asal yang dihadiahkan penjajah kepada bangsa Melayu.
Kita merdeka dari segi politik, tetapi terjajah dari segi aqidah! Perlembagaan yang memerdekakan orang Melayu tahun 1957, kini menjerut leher dan aqidah bangsa Melayu!

Dizaman siber tanpa sempadan, saya hairan JAIS dan yang sewaktu dengannya masih lagi terbelengu dengan warisan penjajah ini. Apakah JAIS akan bertindak terhadap ustadz/ ustadzah yang mengajar Quran dan muqaddam dirumah-rumah? Bagaimana dengan pensyarah, guru yang mengajar disekolah-sekolah yang mengajar matapelajaran Islam.
Bagaimana pula dengan program Ehwal Perdana Islam di kaca TV, ramai panelisnya adalah golongan yang tidak diberikan tauliah. Bagaimana dengan mereka yang menyampaikan Islam di dada akhbar, majalah dan lain-lain. Bagaimana dengan blog, ruang siber dan lain-lain.
Apakah masjid surau tidak boleh memanggil penceramah dari disiplin lain untuk memberi ceramah dan kuliah. Contohnya memanggil doktor pakar untuk memberi penerangan tentang perubatan. Ataupun memanggil seorang pegawai Amanah Raya untuk memberi penjelasan tentang hal wasiat dan pusaka. Bagaimana kalau pihak masjid memanggil seorang banker untuk memperjelaskan sekim kewangan Islam. Apakah mereka semua ini tidak layak memberikan ceramah dan kuliah kepada jemaah Muslim, sedangkan Islam itu satu agama kehidupan, dan soal perubatan, kewangan, guaman dan lain-lain juga adalah perkara yang menyentuh tentang kehidupan harian umat Islam.

Pada saya, isu tauliah ini adalah isu lapuk. Ianya adalah satu warisan yang ditinggalkan penjajah untuk disinambungkan oleh bangsa Melayu. Ianya adalah satu mekanisma yang digunakan penjajah untuk menyekat pengembangan Islam. Kini anak jajahnya dengan penuh ta'at dan tawadhuk menurut acuan bapak penjajahnya.

Tauliah telah menjadi satu senjata yang digunakan untuk membunuh pengembangan 'ilmu Islam itu sendiri. Kekadang ia membawa kepada lawak senario. Bayangkan di Malaysia ada 14 negeri, bermakna seseorang pendakwah perlu mendapat 14 tauliah! Bayangkan Mufti Negeri Perak tidak diberi tauliah menyampaikan ceramah/ khutbah di negeri Johor. Bayangkan bekas Mufti Selangor Almarhum Dato' Ishak Baharom sendiri dihalang menyampaikan ceramah dan kuliah dalam negeri Selangor setelah dilucutkan jawatan Mufti. Bayangkan Dato' Ismail Kamus, dahulu dia yang sain sijil tauliah, hari ini dia sendiri tidak diberi tauliah. Bayangkan ulama' sebesar Dato Dr. Haron Din langsung tidak diberi tauliah untuk mengajar disurau masjid. Adakah wajar ulama' saperti Dr. Abdullah Yassin, yang diiktiraf oleh dunia Islam sebagai seorang ulama' mufassirin tetapi ditangkap ketika sedang mengupas surah Al Baqarah hanya kerana tiada tauliah!
Tindakan JAIS baru-baru ini sangatlah memalukan Islam sendiri. Mereka menghina dunia Islam, mereka membantutkan perkembangan 'ilmu Islam. Yang paling malang, mereka membuktikan kepada dunia betapa jumudnya pemikiran segelintir mereka yang diberi kuasa untuk "menjaga Islam".

Saya berpendapat bahawa keperluan kepada tauliah untuk menyampaikan Islam dan berda'wah hendaklah dimansuhkan. Padanya ianya lebih memudharatkan Islam daripada membawa kebaikan. Pada saya, da'wah dan penyebaran serta pengembangan Islam dan 'ilmu perlu dibenarkan tanpa sekatan, samada di masjid dan surau, mahupun di mimbar Jumaat.
Pada saya, hanya jika penyampaian dan ajaran yang dibawa adalah bercanggah dengan Islam ataupun sesat barulah kita ambil tindakan. Contohnya saperti tindak-tanduk kumpulan yang melabel diri mereka Sisters in Islam yang mempertikaikan hukum hakam dan syariat Islam dalam ceramah, program dan risalah mereka. Tetapi yang peliknya kegiatan kumpulan seperti ini tidak pulak JAIS dan yang sewaktu dengannya beriya-iya nak ambil tindakan. Ini menambahkan lagi persepsi bahawa tindak-tanduk badan saperti JAIS ini mengamalkan sikap 'double-standard' dan menurut telunjuk pihak lain!

Apa pun, yang pentingnya setelah lebih 50 tahun merdeka, mengapa kita umat Islam bangsa Melayu masih terikat dengan belengu penjajah. Sampai bila kita nak melolong dan berkokok laungan merdeka pada tiap tanggal 31 Ogos, sedangkan agama Islam yang menjadi tunggak jatidiri dan survival bangsa Melayu masih terjajah. Sudah tiba masanya warisan-warisan penjajah saperti isu tauliah ini kita hapuskan, dan kita bina semula umat yang lemah dan lesu ini diatas dasar Islam yang menurut Al Quran dan sunnah yang sebenarnya.

Diatas robohan Kota Melaka,
kita dirikan jiwa merdeka,
ayuhlah wahai anak bangsa,
hapuskan warisan penjajah durhaka.

Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Selasa
15 Zulqaedah 1430 / 03 Nov 2009

No comments:

Post a Comment