Showing posts with label Khalid Samad. Show all posts
Showing posts with label Khalid Samad. Show all posts

Thursday, October 1, 2009

Isu Wala' lagi!!! Apa citer ni???

Tak habis lagi citer ni rupanya. Sejak dari zaman kemangkatan Allahyarham Fadhil Noor dan digantikan TGHA. Berlakunya perpecahan persefahaman diantara parti komponen Barisan Alternatif yang didokong oleh Pas, seterusnya Ustaz Nasha pula bertanding dan menang Timbalan Presiden Pas menggantikan Ustaz Hassan Syukri yg sangat berpengalaman, Kemenangan besar PRU 08, Perjanjian2 sulit selepas PRU, Isu Muzakarah, Isu Muqabalah, Isu Kerajaan Perpaduan, Isu Wala' kepada pimpinan, Isu puak Erdogan, Isu ABIM/IRC/JIM, Pro Pakatan vs Pro Umno, Penguasaan Team pimpinan Terengganu, penyingkiran cara halus dan strategik terhadap pimpinan pro PR hinggalah masuk ke Kenyataan keras isu arak, kuil hindu dan yg terbaru Isu Selcat di Selangor.

Apa sebenarnya yg cuba dibangkitkan dan diketengahkan dan apa yg hendak diperjuangkan? Perlukah dgn cara begitu? Apakah tiada perbincangan yg oleh dibicarakan dgn lebih berhikmah di kalangan Pakatan Rakyat? Apakah kesepakatan Pakatan Rakyat ini begitu longgar sehinggakan sebahagian pemimpin2 Pakatan Rakyat dgn bebas membuat kenyataaan yg begitu dangkal, provokasi dan boleh meyebabkan perpecahan dan perselisihan faham di kalangan mereka? Apakah pimpinan2, Perwakilan, Ahli dan penyokong Pas ini buta dan mudah dipermainkan oleh segelintir pemimpin dgn tafsiran isu Wala' yg secara membuta tuli terhadap segala kenyataan hasil dari pemikiran dan perbincangan mereka yang sering terburu2 tanpa memikirkan kesan kenyataan pada jamaah, kesepakatan Pakatan Rakyat serta penyokong dan rakyat keseluruhan amnya? Mengapa isu2 kontroversi yg sering dibangkitkan kebetulan ketika berlakunya Pilihan Raya Kecil? Dan lebih malangnya, calon yg bertanding selalunya adalah daripada PAS. Apakah terdapat segelintir pimpinan Pas yg lebih mementingkan kepentingan diri dan kelompok mereka melebihi kepentingan jamaah mereka dan kebaikan islam itu sendiri?

Jadi, aku sangat tertarik dgn kenyataan pimpinan Pas Selangor yg agak kontroversi ketika ini didalam memberikan penerangan beliau berkenaan isu kontroversi yg berlaku di Selangor baru2 ini malahan ketika Muktamar Pas yang lalu. Walaupun pemikiran dan kenyataan beliau tidak aku setuju dan terima sepenuhnya, tetapi pemikiran dan idea beliau kadangkala mempunyai kebenaran serta tidak boleh disangkal dgn begitu saja. Kita sendirilah yang harus memikirkannya demi untuk kebaikan jamaah serta kerjasama Pakatan yang telah kita bina. Wallahu A'lam. Lu fikirlah sendiri!!!

Kenyataan dibawah telah dipetik dari berita Malaysiakini. :

Wala' atau kesetiaan kepada pemimpin yang sebenar tidak harus mengenepikan kepentingan strategi, dengan mengutamakan dasar-dasar yang boleh dipertikaikan semata-mata, seperti isu Melayu-Islam, kata seorang pemimpin PAS Selangor.

Khalid Samad berkata, strategi yang ditetapkan PAS telahpun mengambil kira dasar-dasar yang didukungnya, maka pemimpin-pemimpinnya perlu akur dengan arahan berkenaan.

Beliau turut menyindir pemimpin parti Islam itu yang didakwanya cuba berselindung di sebalik slogan yang menarik seperti "dasar mesti sentiasa diutamakan berbanding strategi" dan "PAS dijunjung atas kepala, Tahaluf Siyaasi (kerjasama politik) hanya di paras bahu".

Menulis di dalam blognya hari ini, Khalid juga berkata pemimpin-pemimpin PAS perlu berusaha mengukuhkan Pakatan Rakyat dan bukannya "sengaja mencari perbalahan."

"Mereka yang berusaha untuk menggagalkan PR (Pakatan Rakyat) dengan membawa soal Melayu-Islam, merekalah yang tidak wala'... walaupun mereka merupakan pemimpin!" tegasnya dalam tulisan di www.khalidsamad.com itu, tanpa menamakan individu yang dimaksudkan.

Ini merupakan tulisannya yang kedua di laman tersebut, yang dilihat cuba menjelaskan pendiriannya berhubung pergeseran yang timbul di antara beliau dengan pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali berhubung soal wala' (patuh) kepada kepemimpinan parti.

"Dan disinilah perlunya wala' yang sebenar. Iaitu patuh kepada arahan berhubung strategi, persoalan yang boleh dipertikaikan, tidak seperti hukum dan dasar. Namun ianya tidak dipertikaikan kerana keputusan telah pun dibuat dan kita wala'," tulisnya lagi hari ini.

'Ambil kira dasar'


"Untuk makluman, semua strategi ditetapkan mengambil kira dasar yang ingin diperjuangkan. Oleh itu tidak akan bercanggah satrategi dan dasar sekiranya dikaji dan difahami dari sudut menyeluruh.

"Ianya hanya kelihatan bercanggah, seperti Perjanjian Hudaibiyyah, tetapi sekiranya difahami dari sudut yang tepat, tiada penggadaian dasar yang telah dilakukan. Kukuhkan PR dan jangan sengaja mencari perbalahan. Tak perlu timbul soal 'atas bahu ataupun atas kepala'," katanya lagi dalam tulisan yang sarat dengan kiasan berkenaan.

Jelasnya lagi, strategi yang dimaksudkan dalam tulisan tersebut adalah gabungan Pakatan Rakyat yang disifatkan seperti perjanjian damai Hudaibiah di antara penduduk Mekah pada tahun 628.

Beliau turut mendakwa terdapat golongan tertentu di dalam PAS yang ingin melaga-lagakan antara PAS Selangor dan Pakatan Rakyat Selangor dengan membangkitkan soal perjuangan Islam.

"Saya dengar akan ada usaha untuk terus melagakan PAS Selangor dengan PR Selangor... Maka akan berkatalah golongan ini 'Islam dijunjung di kepala, tahalluf (kerjasama) dijunjung di paras bahu'," katanya, juga tanpa menamakan golongan terlibat.

Mesti patuh strategi

"Saya harap yang membaca memahami; yang ingin pertahankan PR di Selangor adalah sama seperti mereka yang mampu melihat kebijaksanaan Perjanjian Hudaibiyyah dan akur dengannya. "Yang melenting-lenting dengan ucapan bersemangat adalah seperti mereka yang membantah Perjanjian tersebut dan ingin terus mempertikaikannya. Kalau anda salah seorang dari mereka, hentikanlah," katanya lagi.
Publish Post

Khalid turut menempelak individu-individu berkenaan yang mengetepikan kepentingan parti apabila tidak mengutamakan strategi dan perjanjian yang telah ditetapkan oleh PAS Pusat.

"Harap faham. Strategi yang ditetapkan mesti dipatuhi. Perjanjian yang merupakan sebahagian dari strategi, mesti dituruti.

"Kalau kita ketepikan strategi dan perjanjian yang telah ditetapkan oleh PAS Pusat, atas apa alasan sekalipun, kita meletakkan PAS di tapak kaki kita, bukan di kepala ataupun di bahu kita!

"Atau apakah mungkin ada yang tidak kenal mana tapak kaki, yang mana bahu dan yang mana kepala?," soalnya.

Thursday, June 11, 2009

Al Qur'an di hujung lembing????

Assalamu Alaikum dan salam,

Aku tertarik dgn seorg pemimpin PAS yg boleh dikategorikan sebagai seorang 'kaki hentam' bagi segelintir yg kurang mengenali beliau. Beliau ni memang dilihat sebagai seorang yg berani mempertahankan pandangan dan hujah beliau yang dirasakan benar untuk kebaikan jamaah PAS tanpa rasa gentar walaupun tidak disenangi segelintir pemimpin serta perwakilan. Hujah dan pandangannya amat jelas memperlihatkan kematangan fikiran dan ilmu beliau yg telah diasuh dgn tarbiah perjuangan islam sedari remaja lagi. Teguran dan sindirannya cukup membuat pihak yg terasa pedih didalam. Pemikiran dan prinsip beliau memperlihatkan perbezaan yg nyata bertentangan berbanding abangnya yg turut berkecimpung didalam politik BN dan merupakan bekas menteri didalam kerajaan BN. Persamaan antara mereka hanyalah keduanya merupakan pejuang dan sanggup memperjuangkan apa yg mereka rasa benar walaupun ia boleh menggugat kedudukan politik mereka.

Bahkan Mursyidul Am turut memuji hujah beliau ketika didalam Muktamar walaupun beliau tewas ketika pemilihan yang lalu. Ini apa TGNA kata: "saya ucap tahniah kepada YB Khalid Samad. Walaupun beliau tidak pernah dilihat berkopiah, berserban, berjubah tetapi ucapan dia dalam dewan muktamar kelmarin beliau telah menggunakan hujah-hujah ulama seratus peratus." Saya tambah mula mengagumi beliau ketika berbahas di Parlimen dan juga di Hujah @ TV9. Beliau juga dilihat sebagai pengganti Mat Sabu yang petah berhujah ketika di Parlimen. Kalo nak tau apa yg dimaksudkan dgn Mushaf Al Quran dihujung lembing, ikutilah kupasan didalam blog beliau yg aku saja tampal kat bawah ni. Walaupun hujah tersebut ada pro dan kontranya, yg penting pengajaran yg hendak disampaikan. Korang bacalah sendiri ok !!!

Perang Siffin dan ‘Perpaduan’ BN

Pada hari terakhir Muktamar, saya telah ke depan, menyokong usul yang dibawa oleh PAS Tambun berhubung pembentukan Suruhnjaya Di Raja untuk mengkaji ‘rampasan kuasa’ di Perak. Dalam penghujahan saya pada hari itu, saya telah menyebut peristiwa perang Siffin dan bagaimana ianya mempunyai kaitan dengan keadaan politik kita pada ketika ini. Oleh kerana masalah masa yang diberikan amat singkat, saya tidak sempat untuk menjelaskan persoalan ini dengan lebih terperinci. Saya akan cuba lakukannya di sini.

Untuk mereka yang tidak tahu mengenai peristiwa Perang Siffin, ianya merupakan peperangan di antara tentera Saidina Ali (KW) dan Muawiyyah. Ianya berlaku pada penghujung pemerintahan Saidina Ali.Dalam peringkat-peringkat awal peperangan ini, tentera Saidina Ali memang jelas menguasai pertempuran. Mereka mengasak kedudukan Muawiyyah hingga kelihatan seolah-olah mereka akan mencapai kemenangan. Dalam saat-saat yang genting sebegini, Amr Al-As, yang bersama Muawiyyah telah mencadangkan supaya tentera mereka meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran di hujung lembing-lembing mereka sambil melaung, “Inilah yang akan menjadi hakim di antara kita”.

Tindakan ini bertujuan untuk meminta pihak Saidina Ali untuk sama-sama menghentikan peperangan dan merujukkan persoalan dan perbalahan yang sedang mereka hadapi kepada Al-Quran. Dalam erti kata lain, biarlah ianya diputuskan secara berbincang berdasarkan Al-Quran dan bukannya peperangan.Matlamat sebenar tindakan ini dijelaskan oleh Amr Al-As sendiri. Beliau berkata kepada Muawiyyah, “Bila sebahagian dari mereka menolak, pasti akan ada kelompok yang lain yang berkata; ‘Sepatutnya kita menerima’. Maka dengan demikian akan terjadilah perpecahan di kalangan mereka. Dan sekiranya mereka semuanya sepakat untuk menerima saranan kita ini, kita mendapat kesempatan untuk menunda peperangan ini hingga waktu yang tertentu.”

Penundaan ini bertujuan untuk melepaskan diri mereka dari keadaan yang begitu tertekan pada ketika itu.Saidina Ali (KW) yang tidak kurang handalnya dalam soal peperangan serta tipu helah musuh dan juga sebagai seorang yang mengenali Muawiyyah, telah berusaha untuk meyakinkan tenteranya supaya tidak terpedaya dengan helah ini. Namun Ali tidak berjaya. Tenteranya berbalah di antara satu sama lain atas persoalan ini dan akhirnya, untuk mendamaikan mereka kembali, Saidina Ali terpaksa bersetuju.Dengan itu tercapai hajat Amr Al-As. Tentera Ali tidak lagi mengasak kedudukan mereka, kekalahan pada hari itu dapat dielak dan akhirnya Muawiyyah mencapai kemenangan pada waktu lain selepas peristiwa itu.

Pakatan Rakyat dalam keadaan sekarang, bagaikan tentera Saidina Ali yang sedang mengasak kedudukan tentera Muawiyyah iaitu UMNO/BN. Kita maju selangkah demi selangkah dan jelas dalam BN ketakutan. Tiba-tiba ada yang mencadangkan perpaduan, perdamaian! Pakatan Rakyat, seperti tentera Saidina Ali, mula berbalah sesame kita. PKR dan DAP terpingnga-pingnga dengan sebutan-sebutan ‘perpaduan’. Malah PAS sendiri pun terbahagi dua dalam menghadapi persoalan ini. Kesatuan yang terbentuk selama ini seolah tergugat dan UMNO/BN dengan segeranya menyatakan persetujuan mereka terhadap perdamaian dan persatuan yang dicadang-cadangkan.Syarikat kroni mereka mengibarkan sepanduk ‘Selamat Bermuktamar’ seperti mana tentera Muawiyyah meletakkan mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing.

Ini dinyatakan sebagai bukti keikhlasan mereka untuk ‘berdamai’ dengan kita. Tetapi seperti yang saya katakan tempohari, “apalah nilai sepanduk-sepanduk ini berbanding mushaf-mushaf Al-Quran dihujung lembing”? Walaupun dengan mushaf-mushaf Al-Quran sendiri, sejarah membuktikan penipuan berlaku! Ya, memang, kita tidak sebaik tentera Saidina Ali. Tetapi ingat! Mereka juga jauh lebih buruk dari tentera Muawiyyah!Seterusnya mereka akan memuji dan melambung pemimpin-pemimpin yang mencadangkan ‘perpaduan’ ini dan menyatakan betapa mereka berterima kasih dengan cadangan tersebut. Mereka bermesra dengan PAS, bermanja dengan pemimpin-pemimpin pro-perpaduan ini dan dengan itu merejamkan lembing perbalahan di antara kita!

Punca perbalahan dan ‘perpecahan’ di kalangan kita adalah kerana cadangan ‘perpaduan’ yang datang tanpa perbahasan dan tiada yang mempersetujuinya kecuali sedikit. Namun yang sedikit yang setuju bercakap bagi yang ramai yang tidak!Yang agak pelik, dalam senario peperangan Siffin, cadangan perdamaian datangnya dari pihak yang diasak kerana hampir-hampir dikalahkan. Dalam keadaan kita sekarang, perdamaian dicadangkan oleh kita yang sedang mengasak yang hampir-hampir menang! Dengan itu akan terlepaslah peluang untuk mencapai kemenangan yang muktamad!UMNO/BN akan menggunakan ‘persetujuan’ mereka untuk menimbangkan cadangan PAS sebagai bukti keikhlasan mereka. Penolakan oleh PKR dan DAP yang hampir pasti berlaku akan digunakan sebagai bukti ketidak-ikhlasan mereka berdua. “Mereka tidak mahu orang Islam Melayu bersatu” akan dilaungkan secara nyaring oleh pemimpin-pemimpin yang sedang seronok dilambung pujian dan sanjungan dari semua pihak.

Pegawai Kerajaan, Professor Universiti, Pakar perubatan Melayu UMNO dan sebagainya akan disusun satu demi satu untuk memberi sanjungan dan akhirnya apa yang dinginkan akan berlaku, seperti berlakunya apa yang diinginkan oleh Amr Al-As dalam perang Siffin.Perbalahan akan berlaku di antara kita di dalam PR dan malah di dalam PAS itu sendiri dan akhirnya, pemimpin-pemimpin yang disanjung dan dilambung itu akan menjadikan PAS berseorangan berpakat dengan UMNO. Tidak mungkin PAS menolak apabila cadangan itu datang dari PAS sendiri! Pemimpin pro-perpaduan ini akan berusaha supaya perhubungan kita dalam PR semakin keruh hingga akhirnya PAS diminta keluar kerana dilihat semakin rapat dengan UMNO. Akan kedengaran pada masa itu, “Bukan kami yang nak keluar, kami diminta keluar!” dan “Kalau dengan PKR dan DAP boleh bersama, takkan dengan UMNO tidak boleh”.

Mereka akan bertanya kepada ahli-ahli yang masih terpingnga-pinga dengan keadaan yang baru ini. Hanya semalam menyerang UMNO/BN, hari ini menjadi kawan? Hanya semalam bersama PR, hari ini menjadi lawan?Adakah ini disebabkan inginkan kemenangan yang segera seperti mi segera atau mi celup? Adakah ianya kerana tidak sedar bahawa kita sebenarnya sudah berada diambang kemenangan? Atau, lagi teruk, adakah ianya disebabkan keengganan mencapai kemenangan melalui Pakatan Rakyat? Ini semua merupakan persoalan yang valid dan wajar difikirkan bersama.

Namun, yang lebih penting untuk kita fikirkan adalah implikasi kepada masa depan PAS itu sendiri. Kita akan kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India yang melihat tindakan kita sebagai khianat dan perjuangan Islam akan dilihat sebagai satu perjuangan oppurtunis yang tidak mempunyai prinsip dan asas yang kukuh. Usaha selama berpuluh tahun akan musnah begitu sahaja dengan sekelip mata.Namun yang lebih teruk, keadaan kita akan begitu terdedah, bergantung kepada ihsan UMNO. Sekiranya kita dikhianati UMNO, ke mana hendak kita pergi? Sekiranya selepas mencapai matlamat mereka dan berpisahnya kita dari PR dan kekuatan PR tergugat, UMNO mengusir kita seperti dahulu, ke mana hendak kita pergi?Berseorangan, bagaikan parti politik murahan, ayam tak patuk, itik tak sudu. Ke PR pun tidak dan ke BN pun tidak. 3 penjuru? Yang akan menang ialah salah satu dari dua kumpulan parti yang lain, tetapi bukan PAS! Mahu merayu dan kekal bersama ‘perpaduan’ PAS-UMNO-BN? Kerusi dimenangi UMNO tetap ditandingi UMNO. Kita bertanding kerusi yang kita menang dan kerusi yang PR menang.

Dengan sokongan golongan anti-BN yang terdiri dari Cina dan India serta Melayu yang dibelakang mereka, kita akan kalah. Kecuali di Terengganu dan Kelantan.Maka kita akan dapati diri kita tertipu seperti mana tertipunya Abu Musa As-Syaari oleh Amr Al-As dalam peristiwa tahkim yang berlangsung selepas gencatan senjata di Siffin. Peristiwa tersebut membuktikan keikhlasan sahaja tidak mencukupi. Waraq sahaja tidak mencukupi. Ilmu hukum hakam agama sahaja pun tidak mencukupi. Cerdik politik dan kenal lawan juga amat diperlukan dan saya secara peribadi dengan melihat secara jauh, sudah mula tertanya samada inikah kekurangannya di kalangan pimpinan tertinggi PAS selama ini. Kecuali Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pendirian dan sikapnya jelas menunjukkan mengapa PAS boleh bertahan di Kelantan berpuluh tahun tetapi tidak di negeri lain…

WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD