Monday, October 26, 2009

EGM PAS dari perspektif Tok Guru!!!

Latarbelakang:

Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.


Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.


i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.


Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.(Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)


Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.(Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”


Pandangan Saya
Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.


Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

Saturday, October 10, 2009

7 Jasa Besar Isa Samad !!! Harharhar.....

(Buletin Online) TELUK KEMANG - Tinggal 24 jam lagi untuk rakyat membuat perhitungan, sama ada memilih Zulkefly Mohamad Omar yang dikenali sebagai peribadi yang bersih.

Atau memilih seorang bekas Menteri Besar selama 22 tahun yang dipalitkan dengan pelbagai tuduhan rasuah dan salah penyalahgunaan kuasa.

Berikut adalah beberapa pendedahan yang telahpun dilakukan oleh PAS dan Pakatan Rakyat, tetapi langsung tidak dijawab oleh Tan Sri Mohd Isa Samad

1. 6 tahun penaiktarafan jalan utama Telok Kemang - Pasir Panjang sepanjang 24km terbengkalai.

2. Perparitan dan sistem kumbahan yang gagal berfungsi dengan baik mengakibatkan banjir serta bau busuk, terutama selepas musim hujan.

3. Projek pembangunan terbengkalai, menjadi sarang penagihan.

4. SWM yang gagal mengutip sampah mengikut jadual menjadikan Masalah sampah-sarap dan bau busuk

5. Bandar Pembiakan Lalat dan nyamuk

6. Sebanyak lebih 20 ekar Tanah Rizab Melayu telah dijualkan kepada beberapa hotel pada era Tan Sri Isa Samad menjadi Menteri Besar Besar.

7. Taman Intan Perdana adalah Tanah wakaf yang dicadangkan menjadi kawasan perkuburan Islam telah dijual kepada pemaju secara haram.

Ketujuh-tujuh dakwaan tersebut sudah mejadi rahsia umum calon PAS Tan Sri Mohd Isa Abdul Saad.

Ketujuh-tujuh pendedahan tersebut menjadikan Isa senantiasa dalam sindrom kemaafan, walaupun Umno sedaya upaya cuba mengangkat calon pertaruhan mereka juga. RND

Thursday, October 1, 2009

Isu Wala' lagi!!! Apa citer ni???

Tak habis lagi citer ni rupanya. Sejak dari zaman kemangkatan Allahyarham Fadhil Noor dan digantikan TGHA. Berlakunya perpecahan persefahaman diantara parti komponen Barisan Alternatif yang didokong oleh Pas, seterusnya Ustaz Nasha pula bertanding dan menang Timbalan Presiden Pas menggantikan Ustaz Hassan Syukri yg sangat berpengalaman, Kemenangan besar PRU 08, Perjanjian2 sulit selepas PRU, Isu Muzakarah, Isu Muqabalah, Isu Kerajaan Perpaduan, Isu Wala' kepada pimpinan, Isu puak Erdogan, Isu ABIM/IRC/JIM, Pro Pakatan vs Pro Umno, Penguasaan Team pimpinan Terengganu, penyingkiran cara halus dan strategik terhadap pimpinan pro PR hinggalah masuk ke Kenyataan keras isu arak, kuil hindu dan yg terbaru Isu Selcat di Selangor.

Apa sebenarnya yg cuba dibangkitkan dan diketengahkan dan apa yg hendak diperjuangkan? Perlukah dgn cara begitu? Apakah tiada perbincangan yg oleh dibicarakan dgn lebih berhikmah di kalangan Pakatan Rakyat? Apakah kesepakatan Pakatan Rakyat ini begitu longgar sehinggakan sebahagian pemimpin2 Pakatan Rakyat dgn bebas membuat kenyataaan yg begitu dangkal, provokasi dan boleh meyebabkan perpecahan dan perselisihan faham di kalangan mereka? Apakah pimpinan2, Perwakilan, Ahli dan penyokong Pas ini buta dan mudah dipermainkan oleh segelintir pemimpin dgn tafsiran isu Wala' yg secara membuta tuli terhadap segala kenyataan hasil dari pemikiran dan perbincangan mereka yang sering terburu2 tanpa memikirkan kesan kenyataan pada jamaah, kesepakatan Pakatan Rakyat serta penyokong dan rakyat keseluruhan amnya? Mengapa isu2 kontroversi yg sering dibangkitkan kebetulan ketika berlakunya Pilihan Raya Kecil? Dan lebih malangnya, calon yg bertanding selalunya adalah daripada PAS. Apakah terdapat segelintir pimpinan Pas yg lebih mementingkan kepentingan diri dan kelompok mereka melebihi kepentingan jamaah mereka dan kebaikan islam itu sendiri?

Jadi, aku sangat tertarik dgn kenyataan pimpinan Pas Selangor yg agak kontroversi ketika ini didalam memberikan penerangan beliau berkenaan isu kontroversi yg berlaku di Selangor baru2 ini malahan ketika Muktamar Pas yang lalu. Walaupun pemikiran dan kenyataan beliau tidak aku setuju dan terima sepenuhnya, tetapi pemikiran dan idea beliau kadangkala mempunyai kebenaran serta tidak boleh disangkal dgn begitu saja. Kita sendirilah yang harus memikirkannya demi untuk kebaikan jamaah serta kerjasama Pakatan yang telah kita bina. Wallahu A'lam. Lu fikirlah sendiri!!!

Kenyataan dibawah telah dipetik dari berita Malaysiakini. :

Wala' atau kesetiaan kepada pemimpin yang sebenar tidak harus mengenepikan kepentingan strategi, dengan mengutamakan dasar-dasar yang boleh dipertikaikan semata-mata, seperti isu Melayu-Islam, kata seorang pemimpin PAS Selangor.

Khalid Samad berkata, strategi yang ditetapkan PAS telahpun mengambil kira dasar-dasar yang didukungnya, maka pemimpin-pemimpinnya perlu akur dengan arahan berkenaan.

Beliau turut menyindir pemimpin parti Islam itu yang didakwanya cuba berselindung di sebalik slogan yang menarik seperti "dasar mesti sentiasa diutamakan berbanding strategi" dan "PAS dijunjung atas kepala, Tahaluf Siyaasi (kerjasama politik) hanya di paras bahu".

Menulis di dalam blognya hari ini, Khalid juga berkata pemimpin-pemimpin PAS perlu berusaha mengukuhkan Pakatan Rakyat dan bukannya "sengaja mencari perbalahan."

"Mereka yang berusaha untuk menggagalkan PR (Pakatan Rakyat) dengan membawa soal Melayu-Islam, merekalah yang tidak wala'... walaupun mereka merupakan pemimpin!" tegasnya dalam tulisan di www.khalidsamad.com itu, tanpa menamakan individu yang dimaksudkan.

Ini merupakan tulisannya yang kedua di laman tersebut, yang dilihat cuba menjelaskan pendiriannya berhubung pergeseran yang timbul di antara beliau dengan pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali berhubung soal wala' (patuh) kepada kepemimpinan parti.

"Dan disinilah perlunya wala' yang sebenar. Iaitu patuh kepada arahan berhubung strategi, persoalan yang boleh dipertikaikan, tidak seperti hukum dan dasar. Namun ianya tidak dipertikaikan kerana keputusan telah pun dibuat dan kita wala'," tulisnya lagi hari ini.

'Ambil kira dasar'


"Untuk makluman, semua strategi ditetapkan mengambil kira dasar yang ingin diperjuangkan. Oleh itu tidak akan bercanggah satrategi dan dasar sekiranya dikaji dan difahami dari sudut menyeluruh.

"Ianya hanya kelihatan bercanggah, seperti Perjanjian Hudaibiyyah, tetapi sekiranya difahami dari sudut yang tepat, tiada penggadaian dasar yang telah dilakukan. Kukuhkan PR dan jangan sengaja mencari perbalahan. Tak perlu timbul soal 'atas bahu ataupun atas kepala'," katanya lagi dalam tulisan yang sarat dengan kiasan berkenaan.

Jelasnya lagi, strategi yang dimaksudkan dalam tulisan tersebut adalah gabungan Pakatan Rakyat yang disifatkan seperti perjanjian damai Hudaibiah di antara penduduk Mekah pada tahun 628.

Beliau turut mendakwa terdapat golongan tertentu di dalam PAS yang ingin melaga-lagakan antara PAS Selangor dan Pakatan Rakyat Selangor dengan membangkitkan soal perjuangan Islam.

"Saya dengar akan ada usaha untuk terus melagakan PAS Selangor dengan PR Selangor... Maka akan berkatalah golongan ini 'Islam dijunjung di kepala, tahalluf (kerjasama) dijunjung di paras bahu'," katanya, juga tanpa menamakan golongan terlibat.

Mesti patuh strategi

"Saya harap yang membaca memahami; yang ingin pertahankan PR di Selangor adalah sama seperti mereka yang mampu melihat kebijaksanaan Perjanjian Hudaibiyyah dan akur dengannya. "Yang melenting-lenting dengan ucapan bersemangat adalah seperti mereka yang membantah Perjanjian tersebut dan ingin terus mempertikaikannya. Kalau anda salah seorang dari mereka, hentikanlah," katanya lagi.
Publish Post

Khalid turut menempelak individu-individu berkenaan yang mengetepikan kepentingan parti apabila tidak mengutamakan strategi dan perjanjian yang telah ditetapkan oleh PAS Pusat.

"Harap faham. Strategi yang ditetapkan mesti dipatuhi. Perjanjian yang merupakan sebahagian dari strategi, mesti dituruti.

"Kalau kita ketepikan strategi dan perjanjian yang telah ditetapkan oleh PAS Pusat, atas apa alasan sekalipun, kita meletakkan PAS di tapak kaki kita, bukan di kepala ataupun di bahu kita!

"Atau apakah mungkin ada yang tidak kenal mana tapak kaki, yang mana bahu dan yang mana kepala?," soalnya.