Di petik dari Blog Al Bakistani:
[KOMENTAR] MUBAHALAH TIDAK ADA DALAM JENAYAH SYARIAH
Pertama;
Mubahalah tidak berlaku dalam jenayah syariah. Ia hanya berlaku dalam perdebatan ilmu, sama ada dalam perkara aqidah, syariah atau seumpamanya.
Ini berdasarkan kepada ayat mubahalah dalam Al-Quran, iaitu firman Allah;
فَمَنْ حَاجَّكَ فِيهِ مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَكَ مِنَ الْعِلْمِ فَقُلْ تَعَالَوْا نَدْعُ أَبْنَاءَنَا وَأَبْنَاءَكُمْ وَنِسَاءَنَا وَنِسَاءَكُمْ وَأَنْفُسَنَا وَأَنْفُسَكُمْ ثُمَّ نَبْتَهِلْ فَنَجْعَلْ لَعْنَةَ اللَّهِ عَلَى الْكَاذِبِينَ
Maksudnya;
“kemudian sesiapa Yang membantahmu (Wahai Muhammad) mengenainya, sesudah Engkau beroleh pengetahuan Yang benar, maka Katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru anak-anak Kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan Kami serta perempuan-perempuan kamu, dan diri Kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah Dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang Yang berdusta".
[Surah Al-Imran : 61]
Sebab turun ayat ini, berkaitan dengan perdebatan antara Nabi SAW dengan beberapa orang nasrani dari Najran. Mereka terdiri dari 13 orang, yang diketuai oleh seorang yang bernama Al-‘Aqib, atau dikenali juga sebagai Abdul Masih.
Dalam perdebatan itu, semua hujjah-hujjah Nasrani itu dijawab oleh nabi SAW, tanpa mereka berjaya membalas lagi. Namun begitu, mereka tetap berkeras juga hendak berhujjah, walau mereka sudah mempunyai hujjah lagi.
Mengenangkan sifat begitu, Allah SWT pun menurunkan ayat ini. [Ibnu Kathir : 2/50]
Juga berdasarkan kepada tindakan Abdullah bin Abbas pernah mengajak mubahalah terhadap mereka yang mengingkari beberapa masalah-masalah furu’ [Fiqh] tanpa diingkari oleh seorangs sahabat pun. Juga, Awzaie pernah mengajak Sufyan As-Sauri bermubahalah dalam masalah angkat dua tangan [angkat takbir dalam solat], tanpa diingkari oleh seorang pun. [Zad Al-Ma’ad : 3/643]
Kedua;
Ada pihak mendakwa bahawa melihat kepada perkataan ulama yang menggunakan maksud yang umum, maka dibenarkan bersumpah mubahalah dalam jenayah syariah. Hujjah mereka, merujuk kepada kaedah usul fiqh, iaitu “asal sesuatu lafaz itu kembali kepada yang umum”.
Perlu diingat, pengenaan kaedah usul fiqh bahawa asal lafaz itu hendaklah dilihat pada maksud yang umum, adalah dalam pemahaman nas, bukan pemahaman dari perkataan ulama. Tindakan menggunakan kaedah usul fiqh dalam merujuk kepada perkataan ulama, seperti merujuk kepada perkataan Ibnu Qayyim adalah satu perkara yang salah.
Ketiga;
Jenayah syariah berasal dari nas muhkam dan ia berada dalam perkara yang sawabit. Lebih-lebih lagi dalam nas yang bersifat qatie as-Subut dan Qatie Ad-Dilalah. Dalam jenayah qazaf, ia adalah nas yang muhkam dan Qatie As-Subut dan Ad-Dilalah.
Keempat;
Sesuatu perkara syariah itu mesti mengandungi penjagaan terhadap maqasid syariah yang lima [Imam Al-Qurafi tambah satu lagi, iaitu maruah]. Tetapi mencadangkan dan menghalalkan mubahalah untuk menyelesaikan tuduhan zina [jenayah syariah] adalah tindakan yang disifatkan sebagai hiyal yang menafikan kandungan Maqasid penjagaan maruah. Jadi, ia adalah satu perkara yang batil.
Kelima;
Mengikut kaedah fiqh, dinyatakan bahawa “asal sesuatu perkara itu bebas dari sebarang tanggungan”. Jadi, sebarang tuduhan yang tidak boleh didatangkan pembuktian yang kukuh, iaitu empat orang saksi yang adil, maka orang yang dituduh bebas dari sebarang kesalahan.
Keenam;
Sumpah ini hendaklah tidak berlaku dalam khalayak, kerana ia mengundang banyak kerosakan. Lagipun, jika dibenarkan bersumpah secara terbuka seperti dalam kes li’an, ia hendaklah dengan kewujudan dua belah pihak, dan dengan kehadiran dan arahan hakim.
Adapun bersumpah secara tertutup, seperti dihadapan Isteri, anak-anak dan sebagainya, maka itu tidak mengapa. Kerana, ia tidak mendatangkan implikasi buruk kepada masyarakat.
Ketujuh;
Ada pihak menyatakan bahawa, Apabila pihak penuduh telah bersumpah, lalu apakah pihak dituduh dikehendaki bersumpah juga?
Ada pihak mengatakan pihak yang dituduh dikehendaki bersumpah dengan merujuk kepada kitab “At-Tasyrik Al-Jinaie Al-Islami” tulisan As-Syaikh Abdul Qadir Audah. Dalam kitab dinyatakan seperti berikut;
ويرى الشافعى أيضًا أن يستحلف القاذف المقذوف إذا لم يكن لدى القاذف بينة على صحة القذف، فإن نكل المقذوف عن اليمين اعتبر القذف صحيحًا ودرئ الحد عن القاذف، ولا يرى الشافعى الاستحلاف فى شئ من الحدود إلا فى القذف فقط
Maksudnya;
“Syafie berpendapat juga bahawa penuduh boleh meminta orang yang dituduh bersumpah, apabila di sisi penuduh tidak mempunyai bukti atas tuduhan qazaf. Apabila orang yang dituduh menegah diri daripada sumpah, maka diiktibarkan Qazaf itu sebagai sah, dan tertolak hudud terhadap penuduh. Syafie tidak melihat menuntut sumpah ini dalam perkara hudud kecuali pada qazaf sahaja”. [At-Tasyrik Al-Jinaie Al-Islami : 2/490]
Jika dirujuk balik pada kitab Abdul Qadir Audah itu, didapati As-Syaikh Abdul Qadir Audah menukilkan ulasan ini dari kitab Asna’ Al-Matalib. Iaitu sebuah kitab tulisan seorang ulama besar dalam Mazhab As-Syafie yang bernama Zakaria Al-Ansari.
Menariknya, nukilan ini jika dibaca lagi sehingga habis perbicangan bab, kita akan dapati ada perkataan menyebut;
ولا يرى مالك وأحمد جواز الإثبات باليمين فى القذف فليس للقاذف أو المقذوف أن يستحلف الآخر
Maksudnya;
“Malik dan Ahmad tidak melihat harus memastikan tuduhan zina [Qazaf] dengan sumpah. Tidak ada bagi orang yang menuduh dan dituduh bahawa meminta bersumpah satu dengan yang lain” [2/491]
Jadi, bagi memastikan maksud sebenar terhadap perkataan ini, hendaklah dirujuk juga kepada kitab Asna Al-Matalib tentang ulasan Imam Zakaria terhadap isu sumpah dalam perkara yang melibatkan qazaf.
Ia adalah seperti berikut;
Pertama, dilihat dalam kitab tersebut dalam BAB “KARAHAH Al-YAMIN”. Dinyatakan seperti berikut;
أَنْ يَدَّعِيَ الْقَاذِفُ عَفْوَ الْمَقْذُوفِ فَيُنْكِرُ وَيَنْكُلُ فَيَلْزَمُ الْقَاذِفَ الْحَلِفُ حِفْظًا لِجَسَدِهِ مِنْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً
Maksudnya;
“Penuduh mendakwa orang yang dituduh lalu diingkarinya, maka satu kemestian bagi penuduh bersumpah sebagai cara untuk menjaga/menyelamatkan jasadnya dari dikenakan sebatan sebanyak 80 rotan” [Asna Al-Matalib : 21/390]
Dari perkataan ini, difahami bahawa sumpah dari pihak yang menuduh adalah untuk mengelak dirinya dari dikenakan hukuman sebatan 80 kali rotan.
Kedua, Dalam bab “Musnad Qada’ Al-Qadhi”:
لَوْ عَلِمَ الْقَاضِي زِنَا الْمَقْذُوفِ بِالْمُشَاهَدَةِ وَلَمْ يُقِمْ الْقَاذِفُ بَيِّنَةً عَلَى زِنَاهُ وَطَلَبَ الْمَقْذُوفُ مِنْ الْقَاضِي أَنْ يَحُدَّهُ فَاَلَّذِي أَجَبْت بِهِ أَنَّ الْحَاكِمَ يُجِيبُهُ لِذَلِكَ لِأَنَّ الْقَاذِفَ إذَا لَمْ يَأْتِ بِالشُّهَدَاءِ كَاذِبٌ فِي عِلْمِ اللَّهِ تَعَالَى لِقَوْلِهِ تَعَالَى { فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا بِالشُّهَدَاءِ فَأُولَئِكَ عِنْدَ اللَّهِ هُمْ الْكَاذِبُونَ } وَإِذَا كَانَ كَاذِبًا أَقَامَ عَلَيْهِ حَدَّ الْقَذْفِ
Maksudnya;
“Sekiranya Qadhi mengetahui zina oleh orang yang dituduh dengan penyaksian, dan tidak berjaya mendatangkan oleh penuduh akan bukti atas zinanya [orang yang dituduh], dan menuntut oleh orang yang dituduh daripada Qadhi bahawa dihududkan [penuduh]. Maka hakim hendaklah menerimanya [tuntutan orang yang dituduh] kerana penuduh apabila tidak mendatangkan saksinya, maka ia adalah pembohong dalam ilmu Allah, berdasarkan kepada firman Allah SWT “jika mereka tidak mendatangkan saksi-saksinya, maka mereka disisi Allah adalah dari kalangan orang-orang yang dusta”. Apabila dia adalah pembohong, maka dilaksanakan hukuman hudud [sebat 80 rotan] ke atasnya [penuduh]” [Asna Al-Matalib : 22/240]
Dari ulasan ini, kita dapati bahawa suruhan sumpah ini berlaku dari hakim. Dan jika penuduh tetap tidak dapat mendatangkan saksi-saksinya, maka dia dikira sebagai pembohong dan dikenakan hukuman hudud ke atas dirinya.
Ketiga, dalam bab “SYARAT ADIL UNTUK BERSUMPAH” dinyatakan seperti berikut;
لَوْ أَقَامَ الْقَاذِفُ بَيِّنَةً بِزِنَا الْمَقْذُوفِ أَوْ أَقَرَّ بِهِ أَوْ حَلَفَ الْقَاذِفُ لِنُكُولِهِ أَوْ لَاعَنَ زَوْجَتَهُ لِقَذْفِهَا لَمْ يَفْسُقْ
Maksudnya;
“sekiranya penuduh berjaya mendatangkan bukti terhadap zina orang yang dituduh, atau dia mengakuinya atau bersumpah oleh penuduh dengan sebab keengganannya. Ataupun dia telah lakukan li’an terhadap isterinya dengan sebab tuduhan zina, maka dia tidak menjadi fasiq. [Asna Al-Matalib : 22/405-406]
Perkataan ini, memperlihatkan kepada kita bahawa sumpah itu adalah untuk memastikan status keadilan bagi pihak yang menuduh. Dengan maksud, sumpah dari pihak penuduh dengan tujuan untuk hendak memastikan dirinya tidak fasiq ketika hendak menjadi saksi dalam perkara-perkara yang lain. Dengan erti kata lain, sumpah dari penuduh itu untuk memastikan dirinya adil.
Keempat, dalam Bab “Fi Al-Yamin”
وَإِنْ ( نَكَلَ وَحَلَفَ الْقَاذِفُ سَقَطَ ) عَنْهُ ( الْحَدُّ وَلَمْ يَثْبُتْ الزِّنَا ) عَلَى الْمَقْذُوفِ ( بِحَلِفِهِ )
Maksudnya;
“Sekiranya dia ingkar [orang yang dituduh] dan bersumpah oleh penuduh, maka gugurlah daripada hudud terhadapnya [penuduh] dan tidak sabit zina terhadap orang yang dituduh dengan sebab sumpahnya [orang yang menuduh]” [Asna Al-Matalib : 23/197]
Perkataan Imam Zakaria ini menyatakan bahawa sumpah dari pihak yang menuduh tidak boleh mensabitkan kesalahan terhadap orang yang dituduh. Ia sekadar untuk melepaskan pihak menuduh dari terkena hukuman sebatan 80 kali sahaja. Dan dalam masa yang sama, orang yang yang dituduh juga tergugur dari dikenakan hukuman zina, disebabkan kegagalan orang yang menuduh dari mendatangkan empat orang saksi.
Kelima, dalam Bab Half Al-Mudda’I Yamin Ar-Radd, dinyatakan;
لَوْ قَالَ لِرَجُلٍ زَنَيْت فَأَنْكَرَ وَنَكَلَ فَحَلَفَ الْقَاذِفُ سَقَطَ عَنْهُ الْحَدُّ وَلَا يَجِبُ عَلَى الْمَقْذُوفِ حَدُّ الزِّنَا
Maksudnya;
“sekiranya berkata seseorang kepada seorang lelaki yang lain, kamu telah berzina. Lalu lelaki itu ingkarinya, lalu bersumpah oleh penuduh, maka gugurlah daripada hukuman hudud [Qazaf], tidak wajib dikenakan hukuman hudud zina terhadap orang yang dituduh” [Asna Al-Matalib : 23/214]
Dalam hal ini juga menyatakan, sumpah dari pihak penuduh adalah untuk mengelakkan dirinya dari dikenakan hukuman sebatan 80 rotan sahaja, dan tidak boleh disabitkan kesalahan terhadap orang yang dituduh sehingga dikenakan hukuman.
Ekoran itu, apa sebenarnya yang dimaksudkan oleh nukilan Abdul Qadir Audah itu?
Maksudnya adalah seperti berikut;
Pertama, penuduh hendaklah meminta agar orang yang dituduh bersumpah itu, dikala telah gagal mendatangkan pembuktian di dalam mahkamah. Dan permintaan penuduh agar orang yang dituduh bersumpah itu, bukan secara terus dari penuduh kepada yang dituduh, tetapi pihak penuduh hendaklah meminta dari hakim agar hakim meminta orang yang dituduh supaya bersumpah.
Dalam kes eskay dan Anwar Ibrahim, tuduhan eskay tidak didatangkan dengan pembuktian lagi. Tetapi, sudah meminta pihak Anwar Ibrahim bersumpah balas. Lagi, minta balas ini menggunakan saluran media, bukan saluran mahkamah.
Kedua, tuduhan yang tidak didatangkan saksi empat orang, tidak boleh menjadi alasan untuk pihak yang dituduh dikenakan hukuman zina. Sumpah itu, sekadar untuk melepaskan diri penuduh dari dikenakan hukuman sebatan 80 kali rotan sahaja.
Sekian
Wallahu ‘Alam
Dicatat oleh Al-Bakistani di
7:22 AM
No comments:
Post a Comment