Sunday, December 13, 2009

Doa Laknat Rakyat Terengganu DiMakbulkan


Pada umumnya, orang ramai dapat menerima, apabila seseorang itu dizalimi, dianiayai, dan hilang segala punca mahu meminta pertolongan, maka dia akan berdoa kepada Allah SWT. (Gambar – Runtuhan Masjid Bujal).
Cuma orang-orang Umno yang tidak dapat menerima hakikat ini kerana, mungkin mereka tidak pernah menerima kesusahan dan kesengsaraan akibat dizalimi.

Apa pun doa yang dibaca oleh seseorang yang dizalimi itu, terpulanglah kepada orang itu sendiri, samada mahu mendoakan sesuatu yang buruk terhadap orang yang menzaliminya atau doa yang baik.

Namun, secara tabi’ie (semulajadi) sifat manusia, apabila mereka dizalimi, mereka akan meminta tuhan membalas keatas apa yang telah dilakukan oleh ‘penzalim’ terhadap mereka.

Di negeri Terengganu, khususnya di daerah Kemaman masih tidak lupa satu tragedi yang paling menyayat hati dimana kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu yang diketuai oleh Dato’ Seri Idris Jusoh telah melakukan satu kezaliman yang sangat dahsyat.

Tanggal 26 Mei, 2005, kerajaan Umno/BN bukan sahaja merobohkan rumah-rumah rakyat bahkan mereka merobohkan rumah Allah.

Seluruh masjid Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Bujal lenyap dari muka bumi akibat kezaliman yang dilakukan oleh Umno dan BN.

Apakah salah penduduk-penduduk kampung Bujal sehingga masjid yang mereka dirikan dengan wang yang halal, hasil dari derma sumbangan sedeqah dan jariah orang ramai, tiba-tiba dengan mudah tanpa sedikitpun perasaan kasihan belas, masjid mereka telah dirobohkan.

Apa yang kami boleh buat ketika masjid Bujal dirobohkan?? Tentulah kami mendoakan agar Allah membalas segala kejahatan yang dilakukan oleh kerajaan Umno/BN.
Begitu juga di RTB-RTB lain.

Seluruh dunia menyaksikan bagaimana seorang perajurit Negara, yang masih dalam pakaian seragam, mengalirkan air mata, melihat rumah yang dibinanya dari wang simpanannya dirobohkan oleh kerajaan Umno dan BN.

Seorang askar yang berkhidmat untuk mempertahan tanah air dan Negara, mengumpulkan wang sedikit demi sedikit, demi untuk mendirikan rumah tempat untuk berlindung dari sejuknya cuaca malam hari dan panas terik matahari pada waktu siang.

Orang ramai yang cuba menghalang perobohan rumah anggota tentera itu telah mendirikan solat hajat dirumah tersebut sebelum dirobohkan.

Sang perajurit itu turut mengaminkan doa, yang dibaca beramai-ramai oleh jamaah apabila selesai solat hajat.

Apakah dalam keadaan itu orang ramai dan perajurit akan mendoakan supaya kerajaan Umno dan BN akan diberikan keberkatan, ditambahkan rezeki, terus maju dan cemerlang??

Tentu kandungan doa mereka memohon kepada Allah yang maha adil untuk membalas segala perbuatan zalim kerajaan Umno/BN.

Begitu juga di RTB Belimbimg Api, RTB Padang landak dan Padang Luas, semuanya di daerah Besut.

Tentu mereka tidak pernah terfikir, tanah yang mereka terima secar ikhlas dari kerajaan PAS Terengganu, dirampas.

Rumah-rumah yang mereka dirikan, dirobohkan dengan segala jentera berat dan anggota penguatkuasa yang tidak langsung menggunakan akal dan fikiran akibat ugutan dan paksaan oleh pemimpin Umno dan BN.

Justeru, Allah yang maha adil dan maha berkuasa mungkin telah memperkenankan doa-doa kami dan mereka yang dizalimi.

Kerajaan Umno/BN Terengganu, tidak pernah aman, walaupun memiliki kekayaan wang ringgit berbilion, itu pun hasil dari wang rakyat, hasil royalti yang dirompak.

Percayalah ! Pemimpin Umno/BN Terengganu tidak akan aman dan sentiasa berbalah, walau apa jua tindakan perdamaian yang diambil kerana mereka lah yang menzalimi rakyat Terengganu.

Pembinaan bangunan yang hebat-hebat, Stadium, Lapangan Terbang, Kolam Renang, Menara Komunikasi, Pusat ICT, Masjid; semuanya kini rosak, punoh dan runtuh, sebagaimana kerajaan Umno/BN merobohkan dan meruntuhkan rumah-rumah rakyat marhaen dan masjid Bujal !

Kerajaan Umno/BN Terengganu telah pun merasa azab doa laknat, yang dibaca oleh orang-orang yang dihambat seperti anjing, dihalau keluar dari rumah-rumah yang halal disisi Allah dan dizalimi oleh kerajaan Umno dan BN.

Maka tunggulah pula apa yang terjadi kepada Umno seluruhnya, apabila rakyat berdoa supaya dibalas kezaliman terhadap mereka yang menafikan royalti minyak yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hambanya, rakyat Terengganu dan Kelantan seluruhnya.

Tunggulah, InsyaAllah !

Buletinonline

No comments:

Post a Comment